Gratisan Musik

Tuesday 29 November 2011

Penjodoh Bilangan

Salam 1 Malaysia,

     Bersua lagi dalam ruangan tatabahasa. Hari ini saya akan menyambung lagi tajuk penjodoh bilangan. Masih banyak lagi penjodoh bilangan yang perlu dikuasai oleh semua murid.  Sebelum itu, cuba jawab pantun teka-teki di bawah.....
            Bunga ros kutanam sudah layu,
              Apakah penjodoh bilangan untuk kayu?
                  Jawapan : ______________.

            Pergi melancong semasa cuti,
                 Apakah penjodoh bilangan untuk roti?
            Jawapan : ______________.

            Masak kari bersama terung,
                 Apakah penjodoh bilangan untuk burung?
            Jawapan : ______________.

     Dah dapat jawapan? Mudah sahaja..... Ada berapa penjodoh bilangan untuk kayu, roti dan burung? Cuba fikirkan.....

     Berikut dinyatakan penjodoh bilangan dan kegunaannya.




















       









 Inilah sebahagian paparan tentang penjodoh bilangan. Mudah-mudahan paparan ini memberi manfaat kepada anda semua. Kata-kata hikmah untuk hari ini ialah............

    
Jumpa lagi........

Sunday 27 November 2011

Penjodoh Bilangan

Salam 1 Malaysia.
     Cuba baca dialog di bawah....

     Pada suatu pagi yang indah, di sebuah rumah yang terletak bersebelahan dengan sebidang sawah yang padinya sedang menguning.....
Ibu :  Siti, boleh tak Siti tolong ibu hari ini?
Siti :  Boleh, tolong apa bu?
Ibu :  Tolong belikan ibu seikat serai di Kedai Pak Leman.
Siti :  Ibu nak masak apa hari ni?
Ibu :  Rasanya ibu nak masak rendang daging. Sudah lama
         kita tak makan rendangkan?
Siti :  Wah, sedapnya. Tapi tadi Siti nampak ada sebatang
         serai  dalam peti ais. Tak bolehkah ibu gunakan serai 
         itu?
Ibu :  Boleh tetapi ibu nak masak rendang agak banyak
         kerana saudara-mara kita hendak datang ke rumah
         sempena cuti sekolah ni. Kalau kita gunakan sebatang
         serai tentulah tidak mencukupi. Jadi, jika Siti beli seikat
         serai mungkin ada beberapa batang serai dalam ikatan
         itu.
Siti :  Oh, begitu. Baiklah, ibu. Siti pergi ke kedai sekarang.
Ibu :  Berhati-hati, ya.

     Baiklah. Apakah yang kamu faham tentang dialog di atas?  Ya...tentang penggunaan penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan berfungsi....
* menerangkan aspek bilangan sesuatu benda, tempat, hal,
  perkara dan manusia.
* digunakan di hadapan kata untuk menguatkan lagi aspek
  bilangan.
* ia perlu disesuaikan dengan konteks ayat.

Cuba kamu perhatikan penggunaan penjodoh bilangan bagi perkataan durian...



     
sebiji durian




 


sepangsa durian







seulas durian







 
Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Emak mengambil _______durian untuk diberikan kepada   adik yang gemar makan buah durian.

2. Abang menjumpai ________durian yang gugur di dusun datuk.

3. Ayah meletakkan ________ durian di atas meja untuk  diberikan kepada abang apabila dia pulang dari pejabat  nanti.

*Penjodoh bilangan bagi perkataan serai.....



sebatang serai

seikat serai

serumpun serai

Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Puan Maria membeli ________ serai yang dilonggokkan di atas meja semasa pergi ke pasar tani yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

2.Petang semalam, ayah menanam __________ serai di belakang rumah.

3.Ibu memasukkan _________serai ke dalam  masakannya agar berbau harum dan bertambah lazat.

*Penjodoh bilangan bagi perkataan pisang....




     sebiji pisang


     sesikat pisang


setandan pisang

Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Pak Dollah memikul ________ pisang yang dibawa dari kebun di belakang rumahnya.

2. Setiap hari, datuk akan makan _______ pisang kerana ia mengandungi banyak khasiat dan dapat membekalkan tenaga.

3. Encik Kamal membeli ________ pisang yang dijual di tepi jalan untuk dimakan semasa dalam perjalanan ke tempat perkelahan. 

     Inilah sebahagian daripada penggunaan penjodoh bilangan yang perlu difahami oleh semua murid. Penjodoh bilangan yang digunakan mestilah bersesuaian dengan ayat yang dibina. Berikut saya lampirkan beberapa buah buku yang boleh dijadikan panduan murid-murid.



Jangan lupa....ajaklah ibu dan ayah ke kedai buku untuk menambahkan dan memantapkan ilmu tentang..


Kata-kata hikmah untuk hari ini ialah...



Jumpa lagi.....

Friday 25 November 2011

Simpulan Bahasa

Salam 1 Malaysia.

     Hari ini saya akan meneruskan lagi tajuk simpulan bahasa seperti dalam ruangan yang lalu. Masih banyak lagi simpulan bahasa yang perlu kita pelajari dan harus dikuasai oleh semua murid.Sebelum itu,saya ingin mengucapkan tahniah kepada murid-murid Tahun 6 yang telah dipanggil untuk menghadiri temuduga untuk melayakkan diri ke sekolah berasrama penuh. Semoga semuanya berjaya......
     

      Baiklah, untuk hari ini saya akan menerangkan tentang simpulan bahasa yang bermula dengan perkataan.....berat
Kemudian, diikuti dengan perkataan ...buah



     Seterusnya, dimulakan dengan perkataan...telinga


      Setakat ini sahaja untuk hari ini. Semoga apa yang dipaparkan pada hari ini akan sentiasa diingati oleh murid-murid sekalian. Kata-kata hikmah untuk hari ini ialah....


Jumpa lagi.....


Tuesday 22 November 2011

Simpulan Bahasa

Salam 1 Malaysia.

     Bertemu lagi dalam ruangan Tatabahasa Bahasa Melayu. Saya pasti pada masa ini murid-murid sedang seronok bercuti. Selamat bercuti dan jangan lupa pastikan masa cuti anda diisikan dengan perkara-perkara yang berfaedah. Opsss.....terlupa pula. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang telah berjaya dengan cemerlang dalam Peperiksaan UPSR. Bagi murid yang kurang berjaya, jangan mudah berputus asa. Tingkatkan lagi usaha kerana banyak lagi perkara yang akan anda lalui selepas ini....jadikan ia sebagai satu cabaran.
     Hari ini saya akan mengisi ruangan ini dengan tajuk baru iaitu ..........
*  Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua patah perkataan dan mempunyai makna yang padat dan tepat.

Contoh simpulan bahasa yang bermula dengan perkataan anak.




Contoh simpulan bahasa yang bermula dengan perkataan angkat.




*   Contoh-contoh lain simpulan bahasa ialah....

Ulat buku  -  suka membaca buku

Ajak-ajak ayam  -  Pelawaan yang tidak sungguh-sungguh


Ayam tambatan  -  orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan.


Gaji buta  -  menerima gaji tanpa bekerja

     Sampai di sini sahaja  untuk hari ini. Kita bertemu lagi dalam ruangan yang akan datang....Kata-kata hikmah untuk hari ini ialah....



Jumpa lagi.....









Saturday 12 November 2011

Kata Ganda......

Salam.
     Apa khabar semua? Saya berharap semuanya sihat dan sudah tentu bagi murid-murid Tahun 6 berdebar-debar menunggu keputusan peperiksaan UPSR yang akan diumumkan pada 17 November ini. Semoga semua murid mencapai kejayaan yang cemerlang. Hari ini saya akan menyambung pelajaran tentang kata ganda penuh.

     Kata ganda penuh atau penggandaan penuh bermaksud seluruh perkataan diulang tanpa mengalami perubahan bunyi atau bentuk, sama ada berimbuhan atau tidak. Penggandaan penuh juga boleh wujud dalam keadaan berikut:
* Seluruh kata dasar.
  Contoh: meja-meja dan obor-obor.
* Seluruh kata terbitan.
  Contoh : bungkusan-bungkusan dan soalan-soalan.
* Kata berimbuhan.
  Contoh : biji-bijian dan bayang-bayangan.
* Kata majmuk.
  Contoh : rumah-rumah teres dan guru-guru besar.

Berikut ialah contoh kata ganda penuh beserta gambar.


ampai-ampai

Haiwan laut berwarna putih seperti agar-agar.                                                    







  jentik-jentik

  Anak nyamuk.




lumba-lumba

Sejenis ikan dalam kumpulan mamalia laut.




umang-umang

Sejenis ketam laut yang kecil.




sumpah-sumpah

Haiwan yang menyerupai cicak yang boleh bertukar warna.




orang-orang

Patung orang untuk menakutkan burung di sawah.





dekak-dekak

Alat untuk mengira atau sempoa.




epok-epok

Sejenis kuih yang berintikan kentang atau keledek dan turut dipanggil karipap.

    
      Ini ialah sebahagian contoh kata ganda penuh yang anda telah pelajari atau mungkin baru hari ini anda ketahui. Saya berharap penerangan tentang kata ganda penuh hari ini sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan anda. Kata-kata hikmah untuk hari ini ialah.....



Jumpa lagi........


Wednesday 9 November 2011

Kata Arah

Salam 1 Malaysia.
     Bertemu lagi dalam ruangan tatabahasa Bahasa Malaysia. Cuti sekolah semakin hampir dan keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan tidak lama lagi. Saya mendoakan  anak-anak murid di seluruh Malaysia  mendapat keputusan yang cemerlang. Walaupun cuti sekolah akan bermula pada minggu hadapan, saya berharap semua murid tidak terus melupakan tanggungjawab untuk memperkayakan pengetahuan tentang tatabahasa Bahasa Malaysia.


     Mari kita belajar tentang kata arah. Apakah yang dikatakan kata arah? Cuba fikirkan......Dah dapat jawapan ke...Baiklah, perhatikan betul-betul....Kata arah ialah kata yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya selepas kata sendi nama.

Contoh kata arah ialah:
* antara      * dasar      * pangkal      * puncak
* hujung     * kaki        * sisi             * atas
* penjuru    * dalam     * selatan       * belakang

Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Bahagian ______ kayu biasanya lebih berat daripada bahagian hujungnya.

2. Di _______ bilik ruang tamu itu terdapat sejambak gubahan bunga yang sungguh cantik.

3. Negeri Johor terletak di _______ Semenanjung Malaysia.

4. Penyelam itu mengambil masa sepuluh minit untuk menyelam sampai ke _______ sungai.

5. Ibu meletakkan periuk yang berisi gulai itu di _____ meja.

6. Sebagai pendaki profesional, setakat ini sudah lima kali Amirul sampai ke ________ Gunung Kinabalu.

7. Pak Munir menyisipkan sebilah parang di _______ pinggangnya.

8. Setiap hujung minggu, ayah akan menebas rumput di _________ rumah agar kelihatan bersih.

9. Di ________ kampung itu terdapat sebuah rumah usang yang diduduki oleh beberapa orang pendatang asing tanpa izin.

10. Emak menjemput beberapa orang tetamu yang datang masuk ke ________ rumah.

11. Terdapat sebuah perkampungan orang asli di _____ bukit itu.

12. Pejabat pos itu terletak di ______ sebuah bank dengan sebuah kedai perabot.

     Dapatkah anda menjawab semua soalan? Tahniah, jika anda dapat menjawab semua soalan. Untuk mendalami lagi tentang kata arah, buatlah latih tubi soalan-soalan seperti ini. Saya berharap anda bertambah mahir menggunakan kata arah yang betul semasa membina ayat atau menulis karangan. Anda memang yang terbaik.......Kata-kata hikmah untuk hari ini ialah.....


     Jumpa lagi dalam ruangan yang akan datang....