Gratisan Musik

Thursday 27 October 2011

Kata Sendi Nama

 Salam 1 Malaysia.

     Sambut Deepavali memakai sari,
          Sari dibeli bersama Suraji;
     Kata sendi nama tajuk diberi,
          Mari kita sama-sama mengulangkaji.

     Hari ini kita akan belajar tentang kata sendi nama. Saya berharap anda telah mengetahui apa yang dikatakan kata sendi nama. Apakah kata sendi nama? Cuba jawab....Ya, kata sendi nama ialah kata yang digunakan untuk menyambung frasa dengan kata atau frasa dengan frasa.
     Di sini saya akan memberikan beberapa contoh kata sendi nama yang pastinya anda telah pelajari.
Contoh kata sendi nama:
dari, daripada, dengan, di, ke, kepada, oleh, pada, akan, antara, demi dan dalam.

Ayat-ayat di bawah menunjukkan penggunaan kata sendi nama yang betul dan yang salah. Cuba perhatikan dengan teliti.
1. dari digunakan berpasangan dengan ke
    dari rumah ke sekolah (betul)
    dari rumah kepada sekolah (salah)

2. singkatan kan tidak digunakan untuk menggantikan akan
    saya suka akan durian (betul)
    saya sukakan durian  (salah)

3. antara dan dalam tidak didahului oleh kata sendi nama
    di
    antara merah dengan biru (betul)
    di antara merah dengan biru  (salah)
    dalam kemalangan (betul)
    di dalam kemalangan (salah)

4. demi tidak digunakan serentak dengan untuk
    bersatu demi negara / bersatu untuk negara (betul)
    bersatu demi untuk negara  (salah)

5. daripada digunakan berpasangan dengan kepada
    daripada RM4.00 kepada RM5.00 (betul)
    daripada RM4.00 ke RM5.00 (salah)

6. ke tidak digunakan untuk merujuk kepada manusia dan
    binatang. Penggunaan yang betul ialah kepada.
    Surat itu dipos kepada pegawai itu. (betul)
    Surat itu dipos ke pegawai itu. (salah)

7. kepada tidak digunakan untuk tempat, waktu dan masa.
    Penggunaan yang betul ialah ke.
    hingga ke malam (betul)
    hingga kepada malam (salah)

     Contoh-contoh di atas menunjukkan ayat yang menggunakan kata sendi nama yang betul dan salah. Oleh itu, anda harus berhati-hati ketika membina ayat atau menulis karangan. Setiap kali anda membaca atau menulis ayat yang menggunakan kata sendi nama, semak semula ayat tersebut agar anda tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jika anda dapat mengenalpasti kesalahan penggunaan kata sendi nama dalam ayat, itu bermakna anda seorang murid yang CEMERLANG. Tahniah....Kata-kata hikmat untuk hari ini ialah "Hilang bahasa lenyaplah bangsa".

Monday 24 October 2011

Kata kerja lagi!

Salam 1 Malaysia!

   Berjumpa lagi dalam ruangan tatabahasa. Semoga apa yang ditulis dalam ruangan ini dapat dikongsi bersama. Saya masih lagi menekankan tentang kata kerja yang memang agak luas skopnya.Sebenarnya, semakin banyak kita membaca semakin banyak kata kerja yang akan kita pelajari. Oleh itu, kesimpulannya banyakkan membaca! Saya akan meneruskan lagi pelajaran hari ini dengan menerangkan kata kerja yang melibatkan tangan.

Situasi Melibatkan Tangan
1.  Menguli
     Makna : Perbuatan meramas-ramas sesuatu adunan agar sebati.
     Ayat   : Mak Cik Salmah menguli tepung itu untuk membuat roti.

2.  Mencanai
     Makna  : Perbuatan menggelek adunan supaya rata dan nipis.
     Ayat    :  Penjual roti canai mencanai adunan tepungnya sambil diperhatikan beberapa 
                  orang pelanggan.

3.  Mengepal
     Makna  :  Perbuatan memadatkan  sesuatu dengan genggaman tangan.
     Ayat    :  Ibu mengepal nasi lalu menyuap ke mulut anaknya.

4.  Menggentel
     Makna  :  Perbuatan menjadikan sesuatu bulat-bulat atau berbutir-butir dengan hujung
                   jari. 
     Ayat    :   Adila menggentel tepung itu bulat-bulat sebelum dijadikan bebola ikan.

5.  Melukah
     Makna   :  Menangkap ikan dengan menggunakan bubu.
     Ayat     :  Pak Samad sering melukah di sebatang sungai yang terletak di belakang
                   rumahnya.

6.  Mengail
     Makna  :  Menangkap ikan dengan menggunakan pancing atau joran.
     Ayat    :  Setiap hari Ahad, Kamal dan rakan-rakannya sering mengail di sungai itu.

7.  Memukat
     Makna  :  Menangkap ikan dengan menggunakan jaring yang besar dan panjang (biasanya 
                   di laut). 
     Ayat    :  Beberapa orang nelayan sedang memukat di laut dalam dan mendapat hasil
                  yang lumayan.
     Inilah sebahagian kata kerja yang perlu kita kuasai kerana ia sering digunakan dalam kehidupan seharian. Walaupun maknanya seakan-akan sama, ia bergantung juga pada struktur ayat yang sesuai. Kata-kata hikmat hari ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa".

Sunday 23 October 2011

Kata Kerja

Salam 1 Malaysia.
        Hari ini saya akan meneruskan penerangan tentang kata kerja. Kadang-kadang kata kerja mempunyai makna yang hampir sama dan hanya dapat disesuaikan dengan struktur ayat. Anda perlu bijak  dan mengetahui sama ada perkataan tersebut sesuai digunakan atau tidak. Hari ini saya akan memberi kata kerja yang menerangkan situasi melibatkan tangan sahaja.

Situasi Melibatkan Tangan
1.   memangkas
     Makna :  memendekkan sesuatu dengan cara memotong seperti hujung rumput atau pokok. 
        
     Ayat    :  Pekerja itu sedang memangkas pokok  yang tinggi di tepi sebatang jalan raya.
                   .

2.  menakik
     Makna : perbuatan membuat takuk atau torehan yang kecil (biasanya pada pokok). 
      Ayat    : Beberapa orang budak nakal sedang menakik pokok getah itu.
                 

3.  menghiris
     Makna : perbuatan memotong sesuatu nipis-nipis seperti timun, bawang dan buah-buahan.
     Ayat    : Kakak sedang menghiris sebiji bawang besar untuk dimasukkan ke dalam masakannya.
                 

4.  mengelar
     Makna : perbuatan menghiris sesuatu yang tidak begitu dalam dan tidak putus. 
      Ayat    : Emak mengelar ikan -ikan itu sebelum digoreng. 
                 

5.  menetak
     Makna : memotong atau mengerat sesuatu dengan benda tajam yang dihayun kuat-kuat.
     Ayat    :  Peragut itu telah menetak tangan Mak Minah selepas meragut beg tangan wanita itu. 
                 .

6.  menebang
     Makna : perbuatan memotong pokok kayu yang besar-besar.
      Ayat    : Beberapa orang pemuda telah berjaya  menebang pokok meranti yang tinggi itu.

7.  memotong
     Makna : perbuatan menjadikan sesuatu lebih kecil berkeping-keping dan terbahagi kepada beberapa bahagian.     
      Ayat : Suliza memotong kek itu kepada beberapa bahagian untuk diberikan kepada  tetamu yang hadir.
               

Ini hanya sebahagian situasi kata kerja yang melibatkan tangan. Esok kita akan sambung tajuk ini lagi. Kata-kata hikmat untuk hari ini ialah " Membaca itu Jambatan Ilmu".

Friday 21 October 2011

Kata Kerja

Salam 1 Malaysia.

     Kata kerja....kata kerja....kata kerja.....Tahukah anda kata kerja merupakan satu topik yang agak sukar untuk dikuasai oleh murid-murid.  Banyak maklumat dan makna kata kerja perlu didedahkan kepada mereka. Semasa mengajar, saya perlu memberikan penerangan yang terperinci tentang kata kerja atau menunjukkan gambar tentang kata kerja tersebut. Kadang-kadang kata kerja yang ditanya dalam soalan peperiksaan adalah di luar jangkaan. Untuk membantu murid menguasai kata kerja dengan lebih mendalam , setiap hari saya akan memberi tiga kata kerja kepada mereka, meminta mereka merujuk kamus untuk mencari makna kata kerja dan seterusnya membina ayat menggunakan kata kerja tersebut. Jika setiap hari mereka mendapat tiga kata kerja, sudah tentu dalam seminggu mereka mendapat lima belas kata kerja bersama makna dan ayat yang betul.

Apakah yang dikatakan kata kerja?
Kata kerja ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan perbuatan yang dilakukan oleh orang, binatang dan benda. Kata kerja terbahagi kepada dua kumpulan iaitu :
 
     Masih banyak yang perlu dikongsi bersama tentang kata kerja. Dalam ruangan yang akan datang, saya akan memberi beberapa kata kerja bersama  maknanya sekali. Sekurang-kurangnya ada serba sedikit maklumat tentang kata kerja yang kita pelajari dan boleh diajar kepada anak bangsa kita. Jumpa lagi dan saya akhiri dengan kata-kata hikmat "Ilmu Pelita Hati".

     



Kata Ganti Nama Diri

Salam 1 Malaysia.
     Setelah mengetahui tentang kata nama am dan kata nama khas, hari ini saya akan menerangkan tajuk kata ganti nama diri pula. Tajuk ini nampak mudah tetapi didapati ramai murid sering membuat kesilapan semasa menggunakan kata ganti nama diri yang betul terutama sekali ketika menjawab soalan peperiksaan. Ramai murid masih tidak dapat menguasai tajuk ini terutama sekali apabila menggunakan perkataan seperti beliau, baginda, tuanku dan tuanhamba. Berikut saya berikan serba sedikit maklumat tentang kata ganti nama diri.

* Kata ganti nama diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan seseorang.
* Kata ganti nama diri orang terbahagi kepada tiga iaitu kata ganti nama pertama, kata ganti nama kedua dan
   kata ganti nama ketiga.

1.       Saya berharap anda faham selepas membaca nota di atas. Ini hanyalah serba sedikit contoh yang berkaitan dengan tajuk ini. Banyakkan lagi membaca supaya kita lebih mahir dan mendapat ilmu yang lebih banyak. Jumpa lagi dalam ruangan yang akan datang.