Berjumpa lagi dalam ruangan tatabahasa. Semoga apa yang ditulis dalam ruangan ini dapat dikongsi bersama. Saya masih lagi menekankan tentang kata kerja yang memang agak luas skopnya.Sebenarnya, semakin banyak kita membaca semakin banyak kata kerja yang akan kita pelajari. Oleh itu, kesimpulannya banyakkan membaca! Saya akan meneruskan lagi pelajaran hari ini dengan menerangkan kata kerja yang melibatkan tangan.
Situasi Melibatkan Tangan
1. Menguli
Makna : Perbuatan meramas-ramas sesuatu adunan agar sebati.
Ayat : Mak Cik Salmah menguli tepung itu untuk membuat roti.
2. Mencanai
Makna : Perbuatan menggelek adunan supaya rata dan nipis.
Ayat : Penjual roti canai mencanai adunan tepungnya sambil diperhatikan beberapa
orang pelanggan.
3. Mengepal
Makna : Perbuatan memadatkan sesuatu dengan genggaman tangan.
Ayat : Ibu mengepal nasi lalu menyuap ke mulut anaknya.
4. Menggentel
Makna : Perbuatan menjadikan sesuatu bulat-bulat atau berbutir-butir dengan hujung
jari.
Ayat : Adila menggentel tepung itu bulat-bulat sebelum dijadikan bebola ikan.
5. Melukah
Makna : Menangkap ikan dengan menggunakan bubu.
Ayat : Pak Samad sering melukah di sebatang sungai yang terletak di belakang
rumahnya.
6. Mengail
Makna : Menangkap ikan dengan menggunakan pancing atau joran.
Ayat : Setiap hari Ahad, Kamal dan rakan-rakannya sering mengail di sungai itu.
7. Memukat
Makna : Menangkap ikan dengan menggunakan jaring yang besar dan panjang (biasanya
di laut).
Ayat : Beberapa orang nelayan sedang memukat di laut dalam dan mendapat hasil
yang lumayan.
Inilah sebahagian kata kerja yang perlu kita kuasai kerana ia sering digunakan dalam kehidupan seharian. Walaupun maknanya seakan-akan sama, ia bergantung juga pada struktur ayat yang sesuai. Kata-kata hikmat hari ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa".
No comments:
Post a Comment