Gratisan Musik

Sunday 23 October 2011

Kata Kerja

Salam 1 Malaysia.
        Hari ini saya akan meneruskan penerangan tentang kata kerja. Kadang-kadang kata kerja mempunyai makna yang hampir sama dan hanya dapat disesuaikan dengan struktur ayat. Anda perlu bijak  dan mengetahui sama ada perkataan tersebut sesuai digunakan atau tidak. Hari ini saya akan memberi kata kerja yang menerangkan situasi melibatkan tangan sahaja.

Situasi Melibatkan Tangan
1.   memangkas
     Makna :  memendekkan sesuatu dengan cara memotong seperti hujung rumput atau pokok. 
        
     Ayat    :  Pekerja itu sedang memangkas pokok  yang tinggi di tepi sebatang jalan raya.
                   .

2.  menakik
     Makna : perbuatan membuat takuk atau torehan yang kecil (biasanya pada pokok). 
      Ayat    : Beberapa orang budak nakal sedang menakik pokok getah itu.
                 

3.  menghiris
     Makna : perbuatan memotong sesuatu nipis-nipis seperti timun, bawang dan buah-buahan.
     Ayat    : Kakak sedang menghiris sebiji bawang besar untuk dimasukkan ke dalam masakannya.
                 

4.  mengelar
     Makna : perbuatan menghiris sesuatu yang tidak begitu dalam dan tidak putus. 
      Ayat    : Emak mengelar ikan -ikan itu sebelum digoreng. 
                 

5.  menetak
     Makna : memotong atau mengerat sesuatu dengan benda tajam yang dihayun kuat-kuat.
     Ayat    :  Peragut itu telah menetak tangan Mak Minah selepas meragut beg tangan wanita itu. 
                 .

6.  menebang
     Makna : perbuatan memotong pokok kayu yang besar-besar.
      Ayat    : Beberapa orang pemuda telah berjaya  menebang pokok meranti yang tinggi itu.

7.  memotong
     Makna : perbuatan menjadikan sesuatu lebih kecil berkeping-keping dan terbahagi kepada beberapa bahagian.     
      Ayat : Suliza memotong kek itu kepada beberapa bahagian untuk diberikan kepada  tetamu yang hadir.
               

Ini hanya sebahagian situasi kata kerja yang melibatkan tangan. Esok kita akan sambung tajuk ini lagi. Kata-kata hikmat untuk hari ini ialah " Membaca itu Jambatan Ilmu".

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. bagaimana pula dengan mengerat? pelajar selalu keliru penggunaan memotong dan mengerat..harap boleh bantu sebab saya pun tak jelas untuk beritahu pada pelajar

    ReplyDelete
  3. t212512512
    12103236213621556

    ReplyDelete