Gratisan Musik

Wednesday 9 November 2011

Kata Arah

Salam 1 Malaysia.
     Bertemu lagi dalam ruangan tatabahasa Bahasa Malaysia. Cuti sekolah semakin hampir dan keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan tidak lama lagi. Saya mendoakan  anak-anak murid di seluruh Malaysia  mendapat keputusan yang cemerlang. Walaupun cuti sekolah akan bermula pada minggu hadapan, saya berharap semua murid tidak terus melupakan tanggungjawab untuk memperkayakan pengetahuan tentang tatabahasa Bahasa Malaysia.


     Mari kita belajar tentang kata arah. Apakah yang dikatakan kata arah? Cuba fikirkan......Dah dapat jawapan ke...Baiklah, perhatikan betul-betul....Kata arah ialah kata yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya selepas kata sendi nama.

Contoh kata arah ialah:
* antara      * dasar      * pangkal      * puncak
* hujung     * kaki        * sisi             * atas
* penjuru    * dalam     * selatan       * belakang

Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Bahagian ______ kayu biasanya lebih berat daripada bahagian hujungnya.

2. Di _______ bilik ruang tamu itu terdapat sejambak gubahan bunga yang sungguh cantik.

3. Negeri Johor terletak di _______ Semenanjung Malaysia.

4. Penyelam itu mengambil masa sepuluh minit untuk menyelam sampai ke _______ sungai.

5. Ibu meletakkan periuk yang berisi gulai itu di _____ meja.

6. Sebagai pendaki profesional, setakat ini sudah lima kali Amirul sampai ke ________ Gunung Kinabalu.

7. Pak Munir menyisipkan sebilah parang di _______ pinggangnya.

8. Setiap hujung minggu, ayah akan menebas rumput di _________ rumah agar kelihatan bersih.

9. Di ________ kampung itu terdapat sebuah rumah usang yang diduduki oleh beberapa orang pendatang asing tanpa izin.

10. Emak menjemput beberapa orang tetamu yang datang masuk ke ________ rumah.

11. Terdapat sebuah perkampungan orang asli di _____ bukit itu.

12. Pejabat pos itu terletak di ______ sebuah bank dengan sebuah kedai perabot.

     Dapatkah anda menjawab semua soalan? Tahniah, jika anda dapat menjawab semua soalan. Untuk mendalami lagi tentang kata arah, buatlah latih tubi soalan-soalan seperti ini. Saya berharap anda bertambah mahir menggunakan kata arah yang betul semasa membina ayat atau menulis karangan. Anda memang yang terbaik.......Kata-kata hikmah untuk hari ini ialah.....


     Jumpa lagi dalam ruangan yang akan datang....













1 comment: